BOLOGNA – Ketua pasukan Ducati, Davide Tardozzi percaya pelumba utama, Francesco Bagnaia tidak berdepan sebarang tekanan meskipun mempamerkan aksi kurang meyakinkan dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Juara dunia dua kali itu dilihat masih bergelut untuk menunjukkan kemampuan sebenar yang menyaksikan dia berjaya memenangi 11 perlumbaan Grand Prix (GP) sepanjang saingan musim lalu.
Walaupun menyaksikan rakan sepasukan, Marc Marquez tampil cemerlang memenangi dua perlumbaan awal musim ini, namun Tardozzi menolak tanggapan bahawa Bagnaia sudah semakin merasai bahang persaingan.
“Saya sudah bercakap dengan Pecco (Bagnaia) berhubung prestasinya musim ini dan ia berpunca daripada masalah kecil yang ada pada jentera. Masalah itu menyebabkan dia berdepan kesukaran ketika mengambil selekoh kiri.
“Bagaimanapun, saya menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kemampuannya untuk menyelesaikan masalah tersebut. Mungkin dalam satu atau perlumbaan lagi, kita akan dapat melihat Pecco yang sebenar,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menganggap GP Amerika Syarikat (AS) di Litar Americas (COTA) hujung minggu ini tidak akan menjadi detik kebangkitan Pecco memandangkan Marquez dianggap sebagai ‘raja’ litar tersebut.
“Kita semua tahu COTA sudah menjadi sebahagian daripada diri Marc Marquez, jadi saya tidak fikir Pecco boleh berikan cabaran di sana. Mungkin di Qatar nanti dia akan bersaing bagi mendapatkan kemenangan,” ujar Tardozzi. – AGENSI