SABAK BERNAM – Suasana di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar di sini, digemparkan dengan penemuan mayat seorang bayi di tandas wanita premis itu, semalam.
Lebih menyayatkan hati apabila mayat itu ditemukan orang awam dalam keadaan terlangkup dalam lubang tandas.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat kejadian itu, kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Pemeriksaan kemudian menemukan mayat bayi yang tidak dikenal pasti jantina dan bangsanya.
“Pegawai perubatan kemudian mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia pukul 11.15 pagi,” katanya hari ini.
Justeru, kata beliau, polis sedang mempergiatkan usaha mengesan suspek utama kes itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Justeru, Md. Yusof meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi lyana Mohd. Khairani di talian 018-2510452 atau balai polis berdekatan.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi beberapa hantaran gambar tetmasuk lokasi kejadian dan mendapat pelbagai reaksi netizen yang mengecam tindakan tersebut. – KOSMO! ONLINE