LABUAN – Seorang lelaki berusia 53 tahun maut dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Lubok Temiang, Simpang Mat Isa, di sini awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Labuan berkata, pihaknya menerima panggilan berbubung kejadian itu pada pukul 2.20 pagi.
Katanya, seramai 21 anggota bersama dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah jentera Emergency Medical Services (EMRS) digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pihak kami mendapati sebuah rumah terbakar 100 peratus dan terdapat mangsa tidak sedarkan diri di luar kediaman terbabit.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Layangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kebakaran dapat dikawal pada pukul 3 pagi dan setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan.
Sementara itu, saksi kejadian yang juga jiran mangsa memaklumkan dia terdengar bunyi letupan sebelum kebakaran tersebut berlaku. – KOSMO! ONLINE