PETALING JAYA – Keluarga atau penjaga dibenarkan melawat klien yang sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sempena sambutan Aidilfitri bermula 6 April ini.
AADK dalam kenyataan berkata, ia membabitkan klien di 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) seluruh negara.
“Sesi lawatan untuk PUSPEN di Kelantan, Terengganu dan Kedah bermula dari 6 hingga 10 April, manakala Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak pada 7 hingga 11 April.
“Lawatan berkenaan bertujuan merapatkan hubungan antara klien dengan keluarga, mendapatkan sokongan moral dan emosi selain keluarga boleh melihat sendiri perkembangan pemulihan pelatih yang mengikuti program itu,” katanya di sini hari ini.
AADK berkata, lawatan itu juga bagi memberi ruang dan peluang antara keluarga atau penjaga dan klien untuk bertemu mesra serta sebagai pendekatan terapeutik dalam menyokong pemulihan klien.
Sehubungan itu, keluarga atau penjaga yang ingin menyertai sesi lawatan keluarga terbabit diminta supaya menghubungi Pegawai Pemulihan di PUSPEN sama ada menerusi panggilan telefon, sistem pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp, surat atau e-mel.
Untuk maklumat lanjut. orang ramai boleh hubungi Talian Hotline AADK menerusi talian 1-800-22-AADK (2235) atau 019-626 2233 (WhatsApp). – KOSMO! ONLINE