PETALING JAYA – Pelakon Datuk Adi Putra bersyukur wataknya sebagai lelaki panas baran dalam drama Sekam Di Dada menerima kecaman hebat netizen sehingga tular dalam media sosial ketika ini.
Menurut Adi, kecaman tersebut juga membuktikan emosi yang disampaikan menerusi karakter Nasir itu berjaya dirasai pada penonton drama tersebut
“Saya bersyukur bila dikecam sebab sudah lama tak dikecam. Ibarat kecam di dadalah.
“Jadi, semua emosi panas baran dan kebencian terhadap watak Nasir, berjaya sampai pada hati penonton.
“Kalau rasa tak sampai, mungkin saya tidak dapat kecaman itu. Saya hargai setiap kecaman mereka walaupun geram dan dilemparkan pelbagai bentukkemarahan, namun bila jumpa di luar, tidaklah teruk sangat pun orang marah,” katanya kepada Kosmo! Online pada Meet and Greet Drama Sangat TV3 di sini, baru-baru ini.
Pernah meledak dengan drama Lelaki Itu Ramadan tahun lalu, Adi bersyukur dapat berlakon dalam karya yang mampu memberi impak dan mesej besar terhadap para penonton.
“Setiap Ramadan kena kecam, dulu Lelaki Itu. Syukur pada Allah, setiap tahun pada bulan Ramadan, drama lakonan saya berjaya mendapat tempat di hati ramai dan mesej yang hendak disampaikan itu diterima ramai.
“Walaupun sudah 22 tahun berlakon, saya syukur tak kecewakan peminat.
“Harap Ramadan tahun depan ada kecaman lagi,” ujarnya.
Berkongsi cabaran watak tersebut, Adi, 44, berkata pergerakannya terbatas kerana hanya duduk di atas kerusi roda dan perlu memikirkan cara untuk memastikan emosi dilontarkan dengan baik.
Katanya, karakter panas baran juga mengerah tenaga yang banyak selain memerlukan nada suara yang lebih keras.
“Sekatan watak ini adalah duduk di kerusi roda dan tak boleh beraksi dengan fizikal tetapi perlu bermain dengan jiwa.
“Jadi, gabungan reaksi dan emosi termasuk suara yang perlu ditekankan. Agak berat sebab tak boleh masin dalam skala yang besar dan itulah cabaran untuk saya.
“Secara jujur, bukan sahaja energi, kudrat malah sakit ketika itu. Nak lontarkan suara bukan mudah dengan nada tinggi yang tegang dan perlu meneran namun saya sahut cabaran itu sebab tak mahu kecewakan penonton,” ujarnya.
Sempat mengulas babak disuap nasi oleh Amyra Rosli yang tular dalam media sosial, dia bersyukur adegan tersebut melekat dalam ingatan penonton.
“Alhamdulillah babak disumbat nasi itu hanya dilakukan dengan sekali sahaja. Gandingan dengan Amyra pun berjalan dengan baik.
“Syukur semuanya dipermudahkan dan babak-babak itu berjaya melekat dalam hati penonton.
“Apa dilakukan Amyra itu adalah seperti mewakili perasaan penonton,” katanya lagi.
Selain Adi dan Amyra, pelakon lain turut membintangi drama arahan Zamri Zakaria itu ialah Josiah Hogan, Qistina Khaled, Auni Yusri, Puteri Sarah serta Arash Mohd.
Sekam Di Dada kini hangat ditayangkan menerusi slot Samarinda setiap Isnin hingga Jumaat pukul 10 malam di TV3. – KOSMO! ONLINE