PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan apa-apa isu berunsur perkauman di sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beliau tidak akan membiarkan perkara itu berlaku di peringkat sekolah bawah seliaan KPM sama ada membabitkan guru, murid dan pegawai.
Beliau berkata, pihaknya telah memulakan siasatan berhubung perkara itu.
“Kita tidak kompromi dalam soal ini. Siasatan sudah pun berlangsung dan tindakan akan kita lakukan berdasarkan pada siasatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerayan Bantuan Hari Raya Sekolah-Sekolah Rendah di AEON BiG Alamanda Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini tular klip audio seorang guru didakwa memberitahu seorang pelajar sekolah menengah supaya ‘boleh balik ke China’ kerana tidak memahami bahasa Melayu.- KOSMO! ONLINE