ALOR SETAR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mendedahkan kes kecurian kabel sistem semboyan serta komunikasi KTM semakin kritikal dan menjadi punca kepada banyak insiden gangguan perkhidmatan KTM Komuter Utara.
Kata beliau, kegiatan curi kabel yang berterusan memberi kesan yang ketara terhadap perkhidmatan KTM di sektor utara.
“Jumlah kes kecurian kabel melonjak 414 peratus iaitu daripada tujuh kes pada suku ketiga 2024 kepada 36 kes pada suku keempat 2024.
“Sebanyak 20 hot spot yang dikenal pasti dengan sektor Sungai Petani-Tasek Gelugor mencatatkan kes paling tinggi iaitu 35 kes dan sektor Gurun-Sungai Petani sebanyak 21 kes pada 2024,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Stesen Keretapi Alor Setar, di sini hari ini.
Katanya, peningkatan kes kecurian kabel mengakibatkan jumlah insiden gangguan perkhidmatan KTM Komuter Utara meningkat daripada 85 insiden pada Julai 2024 kepada 804 insiden pada Disember 2024 melibatkan kos pembaikan mencecah RM1.35 juta dengan kerugian masa sebanyak 162 jam akibat gangguan operasi.
“Hampir setiap minggu berlaku kelewatan disebabkan gangguan perkhidmatan akibat kecurian kabel ini. Kita tahu di peringkat kementerian bahawa gangguan ini sudah mencapai satu tahap yang sangat kritikal dan memang menyusahkan orang ramai.
“Memang kita amat menyesali gangguan yang dihadapi orang ramai, namun mereka tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku, bukan sebab masalah teknikal oleh pihak KTMB tetapi isu sabotaj ke atas infrastruktur KTM yang berlaku dengan begitu teruk sekali,” ujarnya.
Menurutnya, jumlah kes kecurian kabel sistem semboyan dan komunikasi yang meningkat secara mendadak itu tidak boleh lagi dipandang mudah sebagai isu jenayah kecurian semata-mata.
“Sistem semboyan berperanan mengawal pergerakan tren yang membawa ratusan penumpang dan kargo yang nilainya jutaan ringgit secara selamat. Kecurian kabel sistem semboyan bukan sekadar mengganggu perkhidmatan KTM tetapi berpotensi untuk menggugat keselamatan penumpang dan kargo.
“Sindiket mencuri kabel adalah sabotaj berunsur jahat yang menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara. Maka, tindakan penguatkuasaan mesti dipertingkatkan dan fokus diberi kepada peruntukan kuasa undang-undang berkenaan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.
Sementara itu, katanya, di peringkat KTMB, Polis Bantuan KTMB melaksanakan 132 operasi khas termasuk rondaan 24 jam di kawasan panas seperti Sungai Petani, Gurun, dan Tasek Gelugor.
“KTMB juga akan menambah baik rangkaian Axle Counter dan peralatan Axle Counter dengan anggaran kos RM12.8 juta setahun dalam tempoh tiga tahun yang tertumpu di kawasan panas tersebut serta menambah infrastruktur pemantauan dan pencegahan termasuk televisyen litar tertutup (CCTV), dron, pagar anti-panjat dan memasang penutup manhole dengan mekanisma kunci baharu,” jelasnya.
Tambahnya, kementerian akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memburu anasir-anasir yang mensabotaj infrastruktur negara dan membahayakan orang awam agar mereka dibawa ke muka pengadilan. – KOSMO! ONLINE