PETALING JAYA – Seorang pemilik kereta mencari pelaku yang bertanggungjawab mencalar kenderaannya dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Bandar Utama, di sini pada 16 Mac lalu.
Kejadian itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV), namun identiti individu itu tidak dapat dilihat dengan jelas.
Bagaimanapun, perbuatan itu dipercayai selepas pemilik kereta itu tidak mempedulikan tindakan sebuah keluarga yang mahu ‘cop parking’ di pusat beli-belah itu yang mana kejadian itu dirakam kamera papan pemuka (dashcam).

“Kejadian berlaku di aras empat bahagian parking. Saya letak kereta 16 Mac Ahad dari pukul 3 petang hingga 5 petang (waktu tertera pada dashcam).
“Mereka calarkan kenderaan saya sekitar pukul 4 petang (seperti dalam CCTV). Saya cuba cari saksi,” menurut kapsyen pada video yang dikongsikan TikTok dashcam.my.
Menerusi video ‘dashcam’ tersebut, kelihatan seorang kanak-kanak dan seorang wanita sedang menunggu di salah satu unit letak kenderaan untuk ‘cop’ tempat tersebut.
Dalam ruangan komen, ramai yang bersimpati dengan pemilik kereta itu selain mengecam perbuatan mencalar kenderaan serta ‘cop parking’ dilakukan individu tersebut.
“Kenapa nak kena cop parking ek? Cari saja lah parking waktu naik kereta tu. Aneh-aneh lah,” kata seorang pengguna TikTok.
“Selalunya orang yang kuat cop parking ni memang otak singkat sikit. Saya dah letih hadap orang otak letak kat lutut,” marah seorang pengguna Facebook
“Kita ni kalau jahil tara mana sekali pun, jangan khianat orang. Cepat atau lambat perbuatan itu akan balik pada kita berkali ganda,” kata seorang individu. – KOSMO! ONLINE