PETALING JAYA – Kementerian Perpaduan Negara mengangkat kisah kekeluargaan serta konflik anak lelaki tunggal yang masih tinggal bersama ibu dalam filem pendek bertajuk Kepulangan sempena Aidilfitri kali ini.
Pengarahnya, Zaiham Zainal berkata, filem pendek tersebut merupakan cetusan idea Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang mana beliau amat menjunjung tinggi perpaduan dan keharmonian di negara ini.
“Saya merasakan filem pendek ini harus ditonton oleh segenap lapisan masyarakat demi memastikan kita semua menerima mesej utama filem pendek ini iaitu faham, hormat dan terima.
“Filem pendek ini menekankan maksud agar kita faham akan kepelbagaian agama di negara ini dan kita hormat setiap amalan masyarakat yang berbilang agama serta kita menerima setiap perbezaan dalam menghormati setiap agama di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kisah ini mengangkat tentang konflik anak tunggal lelaki, Ismail, yang berusia pertengahan 20-an yang masih tinggal bersama ibunya, Puan Faridah.
“Mentaliti masyarakat kita yang kebanyakannya memandang lelaki harus hidup berdikari dan tinggal berasingan daripada ibu dan ayah.
“Konflik tercetus di mana rakan sekerja Ismail kerap mengusik dia yang masih tinggal bersama ibunya. Rakan sekerja Ismail yang berasal dari negeri Borneo telah lama merantau dan hidup berdikari, membuatkan ego Ismail tercabar,” ujarnya ketika mengulas mengenai filem pendek tersebut.
Katanya, selain ditayangkan di beberapa stesen televisyen, filem pendek ini turut boleh disaksikan di platform media sosial Menteri Perpaduan Negara dan Kementerian Perpaduan.
Filem pendek melalui produksi Armada Putih Sdn. Bhd. turut melibatkan pelakon-pelakon lain seperti Lizzy dan Deva selain Ismail dan Faridah. – KOSMO! ONLINE