TAPAH – MIC menyuarakan keyakinan sokongan pengundi kaum India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak akan terjejas berhubung isu hangat Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, sekiranya isu tersebut tidak disuarakan oleh sayap gabungan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu impaknya lebih besar yang menjejaskan kepercayaan utuh kaum India terhadap calon parti kerajaan.
“Kita bagi mereka reda (tenang). Saya rasa kita lihat banyak komen daripada masyarakat India. Mereka yakin bahawa ada wakil bersuara dan percaya jaminan telah diberikan oleh kerajaan.
“Tidak akan terjejas (undi kaum India), tetapi kita meneliti dan engage (berhubung dengan mereka dalam apa-apa isu),” katanya kepada pemberita selepas memberi sumbangan duit raya Aidilfitri kepada 1,029 pelajar tingkatan lima dan enam yang melibatkan 11 buah sekolah menengah di Parlimen Tapah di sini hari ini.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, masyarakat India di negara ini tetap yakin dengan kerajaan yang akan melakukan terbaik bagi rakyat negara ini tanpa mengira identiti kaum. – KOSMO! ONLINE