KUALA LUMPUR – Gambaran pasangan contoh berkecai, apabila isteri kepada pelakon Edika Yusof, Nor Hidayah Yusri, didakwa telah memfailkan perceraian terhadap suaminya pada pertengahan Februari lalu.
Peguam yang mewakili Hidayah, Mohd. Yazid Hazim mengesahkan perkara itu selepas menghadiri sebutan pertama kes berkenaan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.
“Untuk hari ini, hanya sebutan biasa bagi penyerahan dokumen.
“Sepatutnya pihak defendan (Edika) perlu hadir, namun kami menerima surat daripada pihaknya menyatakan tidak dapat hadir, mungkin atas alasan kerja dan sebagainya.
“Mahkamah telah menetapkan 23 April depan sebagai tarikh sebutan semula,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ketika ditanya mengenai punca penceraian, Yazid tidak mendedahkan butiran terperinci tetapi mengesahkan ketidaksefahaman menjadi faktor utama.
“Sebab-sebab pemfailan tidak boleh didedahkan secara terperinci kerana bersifat subjudis kepada pihak defendan.
“Mungkin alasan-alasan itu akan dibentangkan berdasarkan arahan hakim pada 23 April nanti.
“Tetapi secara umumnya, punca penceraian adalah kerana tiadanya persefahaman antara plaintif dan defendan,” ujarnya.
Sementara itu, Hidayah enggan mengulas lanjut mengenai keputusan memfailkan perceraian.
“Semua tahu situasi dan keadaan saya. Kalau saya sudah sampai ke tahap pergi ke mahkamah, sudah tentu ada sebab yang sangat kukuh.
“Itu saja yang boleh saya katakan. Saya tak mahu memberi sebarang komen.
“Kalian boleh tanya pihak belah sana sebab saya tak mahu apa-apa keluar daripada mulut saya. Biar saya dengar dulu apa yang keluar dari mulut dia,” luahnya.
Tambahnya, dia dan Edika sudah tidak tinggal sebumbung tetapi enggan mendedahkan lebih lanjut.
“Saya dan dia sudah tidak serumah, cuma tak perlulah saya kongsikan sejak bila,” dedahnya.
Terdahulu, kisah Edika yang setia menjaga Hidayah selepas isterinya lumpuh separuh badan sejak 16 tahun lalu pernah meraih perhatian ramai.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga hampir 22 tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nazirul Afiq, Fardeen Nasrulhaq serta Fereena Nurulhaq. – KOSMO! ONLINE