PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempat mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ kepada kumpulan wartawan ketika meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata demikian selepas diaju soalan sama ada beliau akan memberi lagi keterangan atau tidak kepada SPRM selepas ini.
Ahli Parlimen Bera itu dilihat meninggalkan bangunan SPRM kira-kira pukul 3.05 petang selepas memberi keterangan selama lima jam.
Ketika meninggalkan perkarangan Ibu Pejabat SPRM, Ismail Sabri sempat menurunkan tingkap kereta dan menyantuni kumpulan wartawan yang berkampung di luar bangunan itu.
“Selamat Hari Raya,” katanya sambil melambai kepada petugas media.
Setakat ini, masih belum ada maklumat daripada pihak SPRM mengenai status siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram bekas Perdana Menteri itu.
Terdahulu, Ismail Sabri tiba di Ibu Pejabat SPRM dengan menaiki kereta jenis Toyota Vellfire berwarna hitam pada pukul 9.54 pagi untuk kali ketujuh hadir memberi keterangan.- KOSMO! ONLINE