REMBAU – Pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad bersama dua rakan sekerja yang kini direhatkan susulan kontroversi yang didakwa mempersenda upacara agama Hindu, baru-baru ini menganggap tempoh berkenaan sebagai ‘percutian’ menginsafkan.
Nabil berkata, sepanjang tempoh itu, dia banyak mendekatkan diri dengan masjid selain menganggap insiden itu mengeratkan hubungan bersama rakan-rakan lama.
“Sebenarnya ia satu percutian yang menginsafkan. Mula-mula trauma sikit tapi dah lama-lama jadi macam ini pasti ada kebaikan yang datang daripada apa yang terjadi ini. Saya, Radin dan Azad selalu berbual dan memberi sokongan antara satu sama lain.
“Keadaan yang berlaku ni, kita tak sangka boleh jadi macam ni sampai direhatkan. Insya Allah, kita dapat bekerja bersama-sama semula,” katanya ketika di Pekan Rembau, di sini, hari ini.
Menurutnya, kejadian itu banyak mendewasakannya dan mengajarnya untuk lebih merendah diri selain berhati-hati terutamanya perkara melibatkan agama.
“Saya belajar dari benda yang kita tak tahu, sekarang dah tahu, ke depan kita akan lebih berhati-hati. Ini kesedaran untuk kita semua, macam mana kita tak nak agama kita dipersendakan, sama juga dengan orang lain,” katanya.
Kongsinya, keluarga, isteri serta anak-anak sangat membantunya melalui sepanjang tempoh direhatkan berkenaan.
“Alhamdulillah, ketenangan ni datang dari Allah, walaupun melalui satu waktu yang sukar tapi isteri, anak-anak sama-sama dengan saya. Merekalah bagi ketenangan kepada saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nabil memberitahu, dia merancang untuk mencuba bidang lain dalam mencari rezeki terutamanya berniaga.
“Banyak perkara yang saya dapat dari insiden ini, insya Allah doa-doakan saya untuk cuba-cuba nak berniaga,” katanya.
Caption:
Nabil Ahmad ketika ditemui Media Mulia, di Pekan Rembau, di sini, hari ini. FOTO/ NOR AINNA HAMZAH