GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa apabila merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM6.52 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Juru dan Mak Mandin dekat sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam operasi bermula kira-kira pukul 3 petang Sabtu lalu hingga pukul 10 pagi semalam, dua suspek lelaki tempatan berusia 20 dan 27 tahun yang dipercayai ahli sindiket rangkaian dadah berkenaan turut ditahan.
Katanya, kedua-dua suspek dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ sindiket dadah tersebut dan dipercayai mereka memperoleh RM3,000 bagi setiap trip perjalanan membawa dadah.
“Sindiket ini aktif sejak awal tahun 2025 dan terlibat dalam penghantaran dadah ke negara jiran dengan menggunakan laluan laut.
“Mereka membawa masuk bekalan dalam jumlah besar dari negara jiran di utara, sebelum membungkus semula di Pulau Pinang untuk dihantar ke negara jiran di seberang laut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.
Menurut Hamzah, serbuan pertama dilakukan di Juru, Seberang Perai Tengah yang membawa kepada penahanan seorang pemandu lori berusia 27 tahun yang menyimpan dadah dalam kereta.
”Suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Mak Mandin, di mana jumlah dadah yang lebih besar ditemukan dalam kenderaan dan rumah suspek.
“Turut ditahan ialah seorang lagi suspek berusia 20 tahun yang merupakan penganggur,” katanya.
Katanya, antara dadah yang dirampas ialah 38.8 kilogram serbuk MDMA bernilai RM6.42 juta, 6.8 kilogram heroin bernilai RM65,000, 946 gram syabu bernilai RM30,000 dan 50.4 gram ketamin bernilai RM10,000.
”Sindiket ini dipercayai mampu membekalkan dadah kepada lebih 100,000 pengguna,” katanya.
Hamzah berkata, kedua-dua suspek yang negatif sebarang pengambilan dadah memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah lain.
“Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 29 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Selain itu, katanya, siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut dijalankan bagi mengenal pasti aset yang boleh disita. -KOSMO! ONLINE