fbpx

GISBH: Isteri dapat ikat jamin, CEO ke penjara hingga bicara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh wanita ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang pada prosiding tahun lalu

KAJANG – Seramai lapan tertuduh wanita termasuk isteri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Dalam prosiding di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang di sini hari ini, Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar membuat keputusan itu selepas meneliti permohonan dan hujahan yang dikemukakan tertuduh-tertuduh selaku pemohon dan pihak pendakwaan sebagai responden.

Mereka ialah isteri CEO GISBH, Azura Md Yusof, 58, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly ,45, Mahani Kasim, 55, Siti Hajar Ismail, 52, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28, Nurul Jannah Idris, 29, Nur Jannah Omar, 33, dan Siti Salmiah Ismail, 58.

“Pemohon-pemohon dibenarkan diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin serta melapor diri di balai polis dua minggu sekali.

“Pemohon-pemohon juga wajib hadir di mahkamah, tidak dibenarkan kacau ganggu saksi dan sekiranya pemohon sakit, penjamin dikehendaki mengemukakan surat cuti sakit,” kata Hakim Latipah.

Bagaimanapun bagi tertuduh iaitu CEO GISBH Nasiruddin Mohd. Ali, 66, serta 12 lagi pemohon mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin.

Kesemua 12 pemohon itu selain Nasiruddin ialah Hasnan Abd Hamid, 54, Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 33, Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd. Fazil Md Jasin, 58, Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.

Dengan keputusan itu Nasiruddin dan 12 lelaki tersebut kekal dalam penjara hingga perbicaraan.

Dalam penghakimannya, Hakim Latipah berkata lapan pemohon yang dibenarkan diikat jamin telah memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

“Tiada keterangan dalam afidavit pihak jawapan responden (pendakwa raya) yang menunjukkan bahawa pemohon-pemohon mempunyai risiko untuk melarikan diri.

“Bagaimanapun, pemohon-pemohon telah memberi aku janji untuk tidak berjumpa atau berhubung dengan saksi-saksi sekiranya jaminan diberikan. Mengambil kira alasan ini, mahkamah menggunakan kuasa budi bicara yang diperuntukkan dalam akta tersebut (SOSMA) membenarkan jaminan kepada kesemua pemohon,” kata hakim itu.

Sementara 13 pemohon yang ditolak pernohonannya kerana mereka gagal memenuhi syarat yang dikategorikan yang termaktud seksyen 13 (2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 selain mahkamah mendapati kesihatan pemohon-pemohon terkawal dan boleh menjalani aktiviti harian serta berdikari.

Dalam prosiding sebelum ini, pihak pembelaan yang mewakili Nasiruddin ketika berhujah dalam rayuan jaminan berkata kedua-dua anak guamnya mempunyai penyakit yang memerlukan rawatan khusus.

Selain itu, peguam-peguam lain dalam rayuan mereka turut memaklumkan pemohon-pemohon akan mematuhi segala syarat tambahan sekiranya dibenarkan ikat jamin.

Mendengar perkara itu, pendakwaan berkata Seksyen 13 (2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) telah memberi budi bicara kepada mahkamah untuk mempertimbangkan permohonan jaminan dengan syarat tertuduh memenuhi syarat yang diperuntukkan seksyen itu iaitu seorang individu yang berumur di bawah 18 tahun, seorang perempuan atau seorang yang sakit atau uzur.

Selain itu, pihak pendakwaan turut menghujahkan
soktor yang merawat pemohon di dalam penjara juga mencukupi selain fasiliti dan ubat-ubatan lengkap serta Pemohon juga pada bila-bila masa boleh mendapatkan rawatan.

Sepanjang prosiding kesemua pemohon peguam-peguam Datuk Rosli Kamaruddin,
Kamal Hisham Jaafar dan Najib Zakaria manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hashim.

Sebelum ini, hanya seorang tertuduh iaitu Hamimah Yakub, 73, dibenarkan diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin oleh mahkamah sama yang mana tertuduh kategori pengecualian termaktub bawah Seksyen 13(2)(b) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Pemohon juga diperintah melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sekali setiap dua minggu hingga perbicaraan selesai, selain wajib hadir ke mahkamah pada setiap tarikh ditetapkan dan sekiranya sakit, penjamin perlu hadir mengemukakan sijil sakit dari hospital dan klinik kerajaan.

Pada Oktober tahun lalu, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang namun tiada pengakuan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan. Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan , mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di sebuah tempat di Jalan Desa, di Bandar Country Homes, Rawang di sini antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI