LIVERPOOL – Masa depan penyerang Itali, Federico Chiesa di Anfield bakal diputuskan oleh Liverpool pada hujung musim ini selepas hanya berhijrah menyertai pasukan itu pada musim panas lalu.
Biarpun Liverpool menikmati perjalanan yang cemerlang musim ini, Chiesa dilihat sering tersisih apabila hanya turun beraksi selama 25 minit untuk saingan aksi Liga Perdana Inggeris dan hanya membuat 11 penampilan yang kebanyakan adalah perlawanan melibatkan trofi.
Bagaimanapun, Chiesa masih mampu membuktikan keupayaannya dalam 11 perlawanan tersebut apabila berjaya meledak dua gol dan dua umpanan jaringan, tetapi dia masih gagal memikat pengurus pasukan, Arne Slot untuk berada dalam skuad utama.
Berdasarkan situasi semasa tersebut, beberapa laporan di Itali menyebut bahawa Chiesa perlu segera meninggalkan Anfield untuk menghidupkan semula kariernya dan sebahagiannya menjangkakan pemain berusia 27 tahun itu bakal meninggalkan Liverpool pada Jun nanti.
Ketika ini, Antonio Conte yang sedang mengemudi Napoli dikatakan cukup berminat untuk membawa Chiesa ke Naples untuk dia beroperasi sebagai pemain sayap kanan selepas pasukan itu kehilangan Khvicha Kvaratskhelia yang menyertai PSG.
Selain itu, pengemudi skuad Itali, Luciano Spalletti juga dilapor gembira sekiranya Chiesa kembali ke Serie A untuk dia kembali mendapatkan minit permainan sebagai persediaan ke saingan Piala Dunia 2026. – AGENSI