KUALA LUMPUR – Bersahur dan berbuka puasa sendirian buat pertama kali, pelawak Isma Aliff tidak kisah tinggal seorang diri dalam keadaan berkerusi roda sejak pemergian ibunya pada September lalu.
Kata Isma atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail, 61, dia enggan menyusahkan adik-beradik kerana mampu menguruskan diri sendiri selepas berdepan kesukaran bergerak akibat serangan angin ahmar pada 2023.
“Pemergian ibu hampir enam bulan lalu beri impak besar memandangkan sebelum ini kami tinggal berdua di rumah tetapi saya reda dan perlu teruskan hidup.
“Ketika awal kena strok dulu memang saya terlantar, perlu pakai lampin tetapi selepas setahun melalui fisioterapi saya sudah boleh menggerakkan bahagian anggota sebelah kiri walaupun perlu menggunakan kerusi roda.
“Selepas itu dapatlah saya jaga ibu yang sakit tua dibantu adik. Dia tinggal berasingan sebab sudah berkeluarga tapi kerap datang jenguk. Setakat uruskan diri saya masih mampu,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Insaf Malaysia, baru-baru ini.
Pelakon dan penyanyi era 90-an itu berkata, dia bersyukur apabila ramai rakan seperjuangan masih bertanya khabar selain sesekali datang ziarah ke kediamannya.
“Antaranya Ebby Saiful, Datuk ND Lala dan Datuk Andre Goh yang kerap datang. Kadang-kadang sedih juga mengenang nasib, namun saya bersyukur ramai kawan bagi semangat.
“Ebby Saiful paling kerap ziarah, dua atau tiga minggu sekali. Dia nak datang selalu pun susah sebab tiada kenderaan, manakala ND Lala atau Andre Goh ada tanya khabar dan melawat,” ujarnya.
Menjelang kehadiran Syawal, katanya tiada lain harapan melainkan terus berdoa anak sulung bersama dua cucunya dapat pulang berhari raya.
“Saya berdoa agar anak cucu dapat balik menjenguk saya dan meraikan lebaran bersama-sama. Saya sudah cukup gembira andai doa ini dimakbulkan Allah,” katanya.
Mengenai kos rawatan susulan, akuinya dia menerima bantuan zakat sebanyak RM400, selain kadangkala mendapat sumbangan daripada rakan.
“Saya tinggal seorang diri, tiada apa nak dikejarkan lagi malah ada juga sahabat yang hulur sumbangan, jadi dapatlah tampung belanja harian atau ke hospital.
“Kalau ada lebih, saya gunakan untuk rawatan akupuntur, tapi tak boleh pergi selalu kerana sekali pergi bayarannya RM90, agak mahal untuk saya,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE