KOTA SAMARAHAN – Dua perompak berusia 14 dan 21 tahun ditangkap ketika sedang leka menyelongkar barang di dalam sebuah rumah yang dipecah masuk mereka di Lorong 4, Jalan Jambori di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintenden Damataries Lautin berkata kedua-dua lelaki itu dicekup kira-kira pukul 8.15 pagi semalam, sejurus selepas pihaknya menerima laporan daripada pemilik rumah terbabit yang memaklumkan rumahnya dipecah masuk.
“Semasa anggota berjumpa dengan pemilik rumah tersebut, dia mengatakan suspek masih berada di dalam rumah.
“Seterusnya serbuan dibuat dan berjaya menangkap dua lelaki yang sedang leka menyelongkar barang-barang di dalam rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, setelah disoal siasat, kedua-dua suspek mengaku memecah masuk rumah tersebut melalui tingkap bilik dengan menggunakan sebatang besi kuku kambing.
Damataries berkata pasukan serbuan turut merampas sebuah motosikal yang digunakan suspek, yang disembunyikan di tepi Lorong 4, Jalan Jambori.
Beliau berkata kedua-duanya yang berasal dari Kampung Bumbok, Batu Kitang dan Kampung Selampit, Lundu kini ditahan di Balai Polis Kota Samarahan untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE