GEORGE TOWN – Motif dendam dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga Myanmar maut selepas diserang dan ditetak berhampiran sebuah restoran nasi kandar di Taman Sepadu Jaya, Tasek Gelugor pada 7 Mac lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, setakat ini lapan individu termasuk warga asing berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan.
“Kejadian dipercayai berpunca akibat dendam terhadap mangsa dan keluarganya di Myanmar. Suspek utama masih diburu dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Hamzah, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang pekerja restoran nasi kandar maut akibat ditetak empat lelaki tidak dikenali dengan menggunakan senjata parang. -KOSMO! ONLINE