BANDAR RAYA NEW YORK – Prospek pelancongan Amerika Syarikat (AS) dilihat suram ekoran beberapa dasar Presiden Donald Trump, yang telah menimbulkan kemarahan sebilangan pelancong asing serta mencetuskan kebimbangan terhadap lonjakan harga dan pengukuhan dolar.
Ketibaan pengembara asing di negara itu dijangka menurun sebanyak 5.1 peratus pada 2025 berbanding tahun lepas. Ia berbeza berbanding unjuran peningkatan 8.8 peratus sebelum ini, demikian menurut penyelidikan Tourism Economics dalam laporannya.
Menurutnya, sektor pelancongan berisiko kehilangan perolehan kira-kira AS$64 bilion (RM283 bilion) pada 2025 susulan penurunan dalam perjalanan antarabangsa dan domestik.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pentadbiran Trump telah mengenakan tarif ke atas Kanada, Mexico dan China serta dan mengancam untuk mengenakannya ke atas Kesatuan Eropah.
Rancangan menyeluruh untuk mengekang imigran turut dipergiatkan selain Trump merangka rancangan kontroversi untuk peperangan di Ukraine dan Gaza.
“Situasi dengan polarisasi dasar dan retorik pentadbiran Trump akan menghalang perjalanan ke AS,” kata Tourism Economics yang merupakan anak syarikat Oxford Economics.
“Sesetengah organisasi akan merasakan tekanan untuk mengelak daripada menganjurkan acara di AS atau menghantar pekerja ke negara itu sekali gus mengurangkan perjalanan perniagaan,” tambahnya.
Institut Forum Pelancongan Dunia sebelum turut berkata, gabungan dasar imigresen yang ketat, dolar yang kukuh dan ketegangan politik global boleh menjejaskan dengan ketara ketibaan pengembara antarabangsa.
Dalam kalangan penduduk 16 negara Eropah dan Asia yang ditinjau oleh firma penyelidikan, YouGov pada Disember tahun lalu, 35 peratus responden berkata, mereka kurang cenderung untuk pergi ke AS di bawah pentadbiran Trump, manakala 22 peratus berkemungkinan berminat.
Tambahnya, pelancong dari Eropah Barat yang merangkumi 37 peratus daripada pelawat pada 2024, adalah yang paling cenderung memilih destinasi lain, di samping warga Kanada dan Mexico. – AFP