SEREMBAN – Peniaga kelapa diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan mencampurkan santan dengan bahan lain semata-mata mahu mengaut keuntungan berlebihan di musim perayaan Aidilfitri.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh berkata, pada musim perayaan ini keperluan dan permintaan santan memang tinggi.
“Sudahlah mereka (peniaga) tidak boleh menaikkan harga santan memandangkan bekalan itu sudah dimasukkan dibawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) namun kerana ingin mendapat untung yang lebih, mereka memasukkan bahan lain pula seperti air.
“Buat masa ini kita tiada mekanisme dalam mengukur berapa banyak air dicampur pada santan terbabit berbanding pengukuran beras import dan beras tempatan.
“Jadi dalam isu santan campur ini, jika memang betul perkara itu berlaku, pengguna boleh melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan siasatan akan dibuat,” katanya sempena Pelaksanaan SHMMP Aidilfitri 2025 di Nilai di sini, hari ini.
Fuziah berkata, memandangkan harga santan runcit satu kilogram (kg) sudah dibawah harga kawalan iaitu RM17.50, jadi tiada sebab lemang dijual pada harga tinggi di musim perayaan ini.
“Sekiranya peniaga menyatakan alasan harga lemang yang dijual mahal disebabkan harga santan meningkat, mereka (peniaga) didapati telah melakukan kesalahan berkaitan pencatutan dan boleh diambil tindakan di bawah Akta 723,”katanya. – KOSMO! ONLINE