fbpx

Bomoh ‘cabul’ terpaksa beraya dalam lokap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Adiq Alqbab (tengah) keluar dari kamar mahkamah selepas menghadapi pertuduhan mencabul seorang budak perempuan 11 tahun di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Seorang ‘bomoh’ muda yang berdepan pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada dua bulan lalu terpaksa beraya di dalam lokap selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 9 April depan sebagai sebutan semula kes.

Tertuduh, Muhammad Adiq Alqbab Zanuddin, 20, yang berdepan tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak tersebut mengekalkan pengakuan bersalah yang dibuatnya pada 13 Februari lalu.

Hakim Wan Suhaila Mohd. menetapkan 9 April depan sebagai tarikh sebutan semula selepas pihak pendakwaan membuat permohonan berkenaan berikutan rekod perubatan mangsa masih belum diperolehi.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Muhammad Adiq Alqbab didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh alat sulit kanak-kanak itu bagi maksud seksual.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, dia didakwa melakukan amang seksual kontak fizikal tanpa persetubuhan bagi maksud seksual terhadap mangsa.

Muhammad Adiq Alqbab didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang juga memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebatan jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh ke atas mangsa di sebuah rumah pada pukul 1 pagi, 31 Januari lalu.

Kosmo! 5 Februari lalu melaporkan bomoh muda terbabit didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal berkenaan sewaktu merawat mangsa yang dikatakan terkena sihir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI