fbpx

BNM bayar dividen RM5.25 bilion kepada kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) membayar dividen sebanyak RM5.25 bilion kepada kerajaan selepas mencatat keuntungan bersih RM13.16 bilion bagi tahun kewangan 2024, berbanding RM7.16 bilion  yang direkodkan pada 2023.

RM7.91 bilion daripadanya telah dipindahkan ke dalam Rizab Risiko BNM.

Kedudukan kewangan BNM kekal kukuh pada 2024 dengan aset berjumlah RM621.54 bilion pada 31 Disember 2024.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, walaupun ketidakpastian masih wujud pada peringkat global, kepelbagaian struktur ekonomi negara dan dasar yang meluas menyediakan daya tahan serta ketangkasan untuk mengharungi rintangan.

“Kami yakin ekonomi Malaysia akan kekal pada landasan pertumbuhan yang stabil, dengan tekanan inflasi kekal terkawal secara keseluruhan.

“Dengan jangkaan keadaan dalam negeri yang menggalakkan, Malaysia harus meneruskan usaha pembaharuan struktur yang penting demi memastikan pertumbuhan yang mampan bagi tahun-tahun mendatang,” katanya pada sidang akhbar sempena penerbitan Laporan Tahunan 2024, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024  dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2024 (TKK ST2 2024) di Sasana Kijang, semalam.

Abdul Rasheed berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini, disokong faktor domestik yang positif, manakala inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing dijangka berpurata antara 2.0 hingga 3.5 peratus dan 1.5 hingga 2.5 peratus.

Tambahnya, Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus pula kekal menyokong dan konsisten dengan penilaian semasa terhadap prospek inflasi.

“Dari segi faktor Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pula, dasar kita sebenarnya lebih dipacu oleh faktor domestik dan tidak kepada apa yang berlaku di luar sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI