PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang mengumpul data mengenai institusi pendidikan termasuk sekolah yang terjejas banjir di Johor.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, data itu penting bagi menyelaras usaha membaik pulih sekolah-sekolah terjejas.
Beliau berkata, pihaknya akan memastikan bahawa sekolah-sekolah terjejas mendapat bantuan penyelenggaraan dengan segera.
“Usaha baik pulih dan penyelenggaraan itu bertujuan memastikan suasana kondusif dapat kita laksanakan untuk pembelajaran anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerayan Bantuan Hari Raya Sekolah-Sekolah Rendah di AEON BiG Alamanda Putrajaya, hari ini.
Pada masa sama, Fadhlina berkata, sebanyak RM26.4 juta telah diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah di Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang rosak akibat banjir pada Disember lalu.- KOSMO! ONLINE