JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini semakin pulih apabila tinggal 2,472 orang terdiri daripada 704 keluarga, setakat pukul 2 petang ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu berkurangan berbanding 3,893 orang terdiri daripada 1,154 keluarga, pada 8 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif tinggal 23 di lima daerah yang terjejas banjir.
“Jumlah mangsa banjir di Johor Bahru terus berkurangan daripada 2,409 mangsa daripada 727 keluarga pada pagi tadi kepada 1,281 orang daripada 356 keluarga yang berada di tujuh PPS.
“Pontian juga menunjukkan penurunan dari segi jumlah mangsa banjir iaitu daripada 552 orang (156 keluarga) pagi tadi menjadi 389 orang (106 keluarga) di enam PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, di Kluang, mangsa banjir berkurang daripada 487 orang daripada 136 keluarga pagi tadi kepada 357 orang daripada 105 keluarga di empat PPS.
Di Kota Tinggi pula, katanya, hampir pulih sepenuhnya apabila tinggal 77 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah itu.
“Batu Pahat sahaja bertambah 10 mangsa banjir pada pukul 2 petang ini menjadikan jumlah mangsa banjir di daerah itu seramai 368 orang (113 keluarga) di empat PPS yang aktif,” katanya.
Katanya, setakat 2 petang ini, Johor Bahru, Muar, Kota Tinggi dan Kulai sahaja dilaporkan cerah, manakala enam daerah lain dilaporkan mendung.-KOSMO! ONLINE