GEORGE TOWN – Seorang bapa empat anak meluahkan rasa syukur apabila dibebaskan lebih awal bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta pada tahun ini.
Bekas operator kilang yang hanya mahu dikenali sebagai Boy, 45, berkata, dia tidak menyangka namanya tersenarai dalam Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani: ‘Kepulangan Yang Dinanti’ di Penjara Reman Pulau Pinang, hari ini.
Boy dihukum penjara selama setahun atas kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
“Walaupun tak sampai empat bulan duduk di sini (penjara), macam-macam perkara yang saya belajar pasai (tentang) kehidupan. Allah bagi saya peluang bebas awal sambut raya dengan keluarga.
“Kini, saya benar-benar insaf dan fokus saya nak (hendak) memperbaiki kesalahan saya dan membahagiakan keluarga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Boy lagi, dia ketika ini merancang untuk mencari peluang pekerjaan yang berdekat dengan rumah memandangkan perlu menjaga ibunya, anak dan isteri yang berkerusi roda akibat mengalami masalah saraf.
Seorang lagi banduan yang juga mahu dikenali sebagai Fendi, 60, berkata, Aidilfitri kali ini dianggap sebagai satu permulaan baharu buat dirinya.
Dia yang terjebak dengan dadah hampir 40 tahun nekad untuk berubah demi ibunya yang kini berusia 77 tahun.
“Umur saya pun sudah lanjut dan dan mungkin ini (hari raya) adalah masa yang terbaik untuk saya (berubah). Saya tak mahu tengok ibu bersedih lagi kerana saya,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Penjara Pulau Pinang, Abd Rauf Lang Pasih berkata, seramai 32 banduan dari Pulau Pinang terpilih untuk mengikuti program PBSL Ihsan Madani sempena Aidilfitri kali ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 27 banduan merupakan penghuni Penjara Reman Pulau Pinang manakala selebihnya dari Penjara Seberang Perai. -KOSMO! ONLINE