KUALA LUMPUR – Malaysia akan memanfaatkan kepengerusiannya untuk memacu agenda ekonomi ASEAN 2025 melalui Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan atau Priority Economic Deliverables (PEDs) ke arah pembangunan ekonomi serantau yang lebih mampan dan inklusif.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN juga akan terus mengukuhkan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS), rakan dialog strategik yang telah terjalin sejak 1977 dan diperkukuh melalui Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2022.
“Amerika Syarikat merupakan rakan dagang kedua terbesar ASEAN dengan nilai perdagangan sebanyak USD395.5 bilion pada 2023 (positive in favour of ASEAN).
“Keahlian Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS pula akan membuka ruang untuk memperluas kerjasama ekonomi dengan negara-negara seperti Afrika Selatan, Brazil, China, India, Rusia dan UAE yang juga merupakan Rakan Dialog ASEAN atau rakan luar Asean,” jelasnya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Lim Pay Hen yang ingin tahu apakah peranan yang akan dimainkan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan juga sebagai rakan negara BRICS dalam mendepani cabaran ekonomi global dengan mengambil kira ancaman ekonomi yang dilaksanakan oleh AS di bawah
kepimpinan Donald Trump.
Tambah Mohamad, BRICS yang dianggotai oleh 10 negara dengan saiz pasaran kumulatif hampir 3.88 bilion penduduk mampu memperluaskan akses pasaran produk dan perkhidmatan Malaysia ke negara-negara anggota BRICS, serta meningkatkan perdagangan dan pelaburan langsung asing.
“Secara kumulatif, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara-negara Anggota BRICS adalah berjumlah USD28.75 trilion iaitu 27 peratus daripada KDNK dunia.
“Keutamaan Malaysia dan ASEAN adalah prinsip-prinsip berkecuali, dan menggalakkan pengukuhan sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka dan berasaskan peraturan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.