PETALING JAYA – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus berkembang dan menjadi semakin dekat di hati rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sebagai menteri yang menerajui APM berbangga melihat perkembangan organisasi itu.
“Lebih tujuh dekad APM telah menjadi tunjang dalam pengurusan bencana, keselamatan awam dan misi kemanusiaan.
“Komitmen serta dedikasi setiap warga APM termasuk para sukarelawan amatlah dihargai dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus terbela,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam Ke-73 kepada seluruh warga APM.
Kata beliau, tema tahun ini Sukarelawan dan Pertahanan Awam: Teras Kesejahteraan Nasional mencerminkan kepentingan semangat kesukarelawanan dalam memperkukuh daya tahan negara.
Ujar beliau, peranan sukarelawan bukan sahaja meringankan beban ketika bencana, tetapi memperkukuh perpaduan serta kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi cabaran mendatang.
“Teruskan berkhidmat, teruskan berbakti untuk negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE