KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diberikan tempoh bertenang buat seketika bagi menjernihkan semula hubungan yang dikatakan semakin retak antara kedua-dua pemain itu.
Ketua jurulatih beregu campuran Akademi Badminton Malaysia (ABM), Nova Widianto berkata, antara keputusan yang dibuat adalah dengan menarik penyertaan gandingan No.4 dunia itu daripada Kejohanan Badminton Asia (BAC) bulan depan.
Keputusan itu terpaksa dibuat memandangkan sudah tidak ada persefahaman antara kedua-dua pemain berkenaan ketika berada di dalam gelanggang yang difahamkan bermula sejak Sukan Olimpik Paris 2024 lagi.
“Isu ini sebenarnya sudah lama, terutamanya apabila keputusan tidak bagus. Saya buat keputusan bercakap dengan pihak pengurusan supaya menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Asia.
“Saya fikir situasi ini mungkin disebabkan harapan yang diletakkan ke atas mereka. Sebelum ini ketika sedang mengejar ranking, masih okey lagi walaupun kalah awal. Memang sejak Olimpik lagi (hubungan dingin),” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Tang Jie-Ee Wei serta perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak akan beraksi pada saingan BAC nanti selepas dikatakan sudah menarik diri.
Sementara itu, Nova juga tidak menolak kemungkinan untuk memisahkan beregu berkenaan sekiranya situasi tersebut masih belum menemui jalan penyelesaian dalam tempoh mereka direhatkan daripada sebarang kejohanan.
“Kalau mereka tidak ada sebarang perubahan, mahu ataupun tidak memang akan dipisahkan. Jika tidak, perkara seperti ini akan berulang lagi. Buat masa sekarang, kita tengok dulu keadaan dalam tempoh beberapa hari,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE