RAUB – Selepas tular kisah seorang peniaga petai dihalau daripada berniaga di tepi jalan di Negeri Sembilan kini peniaga nangka pula dilarang menjalankan urusniaga di tepi Jalan Bentong – Gua Musang di sini.
Dalam video berdurasi 1 minit 30 saat itu menyaksikan seorang wanita yang berniaga nangka di atas trak pikapnya bercakap dengan nada marah terhadap beberapa individu dipercayai penguat kuasa daripada Pejabat Tanah dan Daerah Raub yang meletak notis larangan berniaga.
Berdasarkan video tular itu, wanita berkenaan mempersoalkan tindakan penguat kuasa berkenaan dengan menegaskan mengapa individu lain boleh berjual beli namun tidak dirinya.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Raub, Datuk Khuzaidi Haron berkata, pihaknya telah melakukan operasi bersepadu Ops Nangka bermula 6 Jun tahun lalu dan telah menyita 16 gerai jualan nangka di kawasan rizab jalan.
Katanya, ops berkenaan dilakukan selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) meminta bantuan ekoran pihak mereka tidak mempunyai anggota untuk melaksanakan penguatkuasaan terhadap gerai-gerai peniaga nangka tanpa kelulusan di rizab jalan demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Lokasi perniagaan peniaga nangka terletak di rizab Jalan Persekutuan dan membahayakan kerana kenderaan dipandu laju di jalan raya tersebut walaupun mungkin bukan sepanjang masa.
“Jadi risiko kemalangan adalah tinggi kepada peniaga dan pembeli yang berhenti apatah lagi pernah berlaku kemalangan maut yang melibatkan peniaga di jalan tersebut.
“Selain itu masyarakat setempat juga telah banyak kali mengadu peniaga-peniaga seperti ini menghalang pandangan pemandu terutama di simpang keluar masuk ke kampung,”katanya di sini hari ini.
Sementara itu Khuzaidi berkata, dalam mesyuarat untuk Ops Nangka pada 13 Januari lalu pihaknya membuat keputusan membuat rondaan berkala pada hujung minggu dan menampal notis 425 KTN iaitu pendudukan secara tidak sah bermula 25 Januari hingga 31 Mac.
“Daripada rondaan Pejabat Daerah dan Tanah Raub mendapati terdapat tiga peniaga utama kepada gerai-gerai nangka tersebut dan pihak Pejabat Tanah dan Daerah Raub hanya memberikan amaran dan nasihat agar peniaga tidak lagu menjalankan perniagaan di atas rizab jalan kerana faktor keselamatan pengguna jalan raya.
“Sebanyak 19 notis 425 KTN telah ditampal sepanjang rondaan dijalankan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE