ALOR SETAR – Kerajaan telah mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) bagi perolehan 12 set tren elektrik tiga gerabak yang baharu untuk perkhidmatan KTM Komuter Utara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, SST tersebut dikeluarkan kepada CRRC Rolling Stock Center (Malaysia) Sdn. Bhd. melalui tender terbuka pada 20 Mac lalu.
Katanya, perolehan unit tren baharu itu merupakan langkah jangka sederhana untuk menambah baik perkhidmatan kepada penumpang.
“Pembinaan tren-tren baharu ini akan bermula serta-merta dan dibekalkan secara berfasa dalam tempoh 36 bulan. Tren pertama dijangka diterima dalam 22 bulan.
“Kos keseluruhan adalah RM283 juta yang merangkumi reka bentuk, pembinaan, penghantaran, pengujian dan pentauliahan tren sebelum diserahkan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk operasi penuh,” katanya ketika melawat Stesen Keretapi Alor Setar, hari ini.
Menurutnya, perolehan 12 set tren baharu itu dijangka dapat meningkatkan frekuensi perkhidmatan KTMB Komuter Utara, sekaligus mengurangkan waktu menunggu penumpang.
“Ia juga menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih selesa, moden dan efisien,” ujarnya.
Katanya, bagi langkah jangka pendek bagi memastikan perkhidmatan yang lebih selesa dan menepati masa, KTMB telah menempatkan semula sebuah keretapi komuter enam gerabak dari Lembah Klang untuk kegunaan KTM Komuter Utara.
“Penyusunan semula jadual di KTM Komuter Laluan KL Sentral-Pelabuhan Klang susulan pelaksanaan berfasa kerja naik taraf KVDT telah memberi ruang untuk menempatkan semula tren dari Lembah Klang ke Sektor Utara.
“Tren enam gerabak itu akan menggantikan sebuah tren tiga gerabak bagi menambah kapasiti daripada 450 orang setiap trip kepada 1,100 orang untuk memberi keselesaan kepada penumpang di sektor utara. Kereta api tiga gerabak yang digantikan akan dijadikan tren standby (siap sedia),” jelasnya.
Katanya, antara penambahbaikan lain yang dilakukan sejak 2023 adalah menempatkan semula gerabak-gerabak kereta api Subang Skypark ke sektor utara untuk menambah kekerapan perkhidmatan KTM Komuter Utara.
“Selain itu, memanjangkan perkhidmatan KTM Komuter dari Butterworth-Padang Rengas ke Ipoh,” jelasnya.
Tambahnya, antara 2023 dan 2024, jumlah purata penumpang harian KTM Komuter Utara melonjak 29 peratus dari 12,668 kepada 16,363 orang, sekali gus membuktikan langkah penambahbaikan sebelum ini telah berhasil dan perkhidmatan komuter semakin menerima sambutan dalam kalangan rakyat. – KOSMO! ONLINE