MONTEVIDEO – Argentina tidak berdepan sebarang masalah untuk menewaskan Uruguay 1-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan walaupun tanpa kehadiran beberapa penggempur utama seperti Lionel Messi dan Lautaro Martinez.
Pada perlawanan yang berlangsung di Estadio Centenario pagi semalam, Uruguay dilihat lebih banyak menguasai permainan, namun Argentina lebih bernasib baik apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi Thiago Almada.
Jurulatih La Albiceleste, Lionel Scaloni menyuarakan rasa gembira apabila mereka berjaya mendapatkan tiga penting, sekali gus menyaksikan mereka semakin hampir untuk mara ke pusingan akhir nanti.
“Mereka memberikan kami banyak masalah pada perlawanan hari ini (semalam), terutamanya pada bahagian kanan. Bagaimanapun, kami berjaya memperbaiki kelemahan dan tampil lebih berbeza di separuh masa kedua.
“Saya sangat berpuas hati bukan hanya disebabkan kami menang, tetapi kerana pemain-pemain berkorban dalam permainan. Mereka berjaya menyerap tekanan yang datang daripada penyokong tuan rumah,” katanya.
Kemenangan itu meletakkan kedudukan Argentina semakin kukuh sebagai peneraju saingan apabila mengumpul 28 mata, enam mata dibezakan dengan pasukan tangga kedua, Ecuador yang menewaskan Venezuela.
“Kami kehilangan beberapa pemain utama pada perlawanan hari ini (semalam) tetapi saya tidak risau kerana ramai lagi pemain lain sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab itu. Inilah kelebihan pasukan kami,” ujar Scaloni. – AGENSI