KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung penahanan sebuah kenderaan dipercayai digunakan dalam aktiviti curi kabel, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 3.45 pagi tadi apabila sebuah MPV polis mengejar kenderaan suspek dari Taman Rainbow, Sentul hingga ke Jalan Kuching.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat dalam kes curi kabel.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan turut menemui peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan bahawa kenderaan yang digunakan suspek didaftarkan atas nama sebuah syarikat sewaan kenderaan.
“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah video di media sosial berhubung kejadian kejar-mengejar antara pihak polis dengan suspek dikatakan berlaku di MITEC, Kuala Lumpur pagi tadi. – KOSMO! ONLINE