fbpx

TNB perkukuh peranan masjid, sumbang RM400,000 zakat wakalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Razak (hadapan kiri) menyampaikan sumbangan zakat wakalah kepada wakil sebuah masjid sambil disaksikan Anwar (tengah) pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai, Pulau Pinang pada 18 Mac lepas. FOTO IHSAN TNB

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyalurkan RM400,000 dalam bentuk zakat wakalah kepada 20 masjid terpilih di sekitar Pulau Pinang menerusi Program Ihya Ramadan tahun ini.

Penyaluran berkenaan adalah sebagai usaha memperkukuh peranan masjid sebagai pusat komuniti yang progresif dan inklusif.

Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, setiap masjid menerima sumbangan sebanyak RM20,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kebajikan dan pembangunan komuniti yang berterusan selain penambahbaikan fasiliti
masjid.

Katanya, antara usaha penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk pembaikan bumbung serta sistem penyaman udara dan lampu, penambahbaikan ruang solat, pembinaan tandas tambahan dan pemasangan sistem audio visual bagi kemudahan pengajian dan ceramah agama.

“Ini memastikan masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat pembelajaran, kebajikan dan perpaduan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan Abdul Razak kepada wakil pengurusan masjid dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Abdul Razak, inisiatif ini adalah bukti komitmen TNB dalam memperkukuh peranan masjid sebagai pusat komuniti penting dalam pembangunan sosial dan kesejahteraan setempat terutamanya membina masa depan yang lebih sejahtera untuk masyarakat.

“TNB bukan sekadar pembekal tenaga elektrik, kami adalah sebahagian daripada komuniti dan ini adalah bukti komitmen kami.

“Sumbangan zakat wakalah ini adalah tanggungjawab kami kepada institusi keagamaan demi memastikan masjid kekal sebagai tempat yang memberi perlindungan, sokongan dan harapan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata, sejajar dengan semangat Ramadan, pihaknya berharap sumbangan ini membawa makna lebih besar kepada rakyat sama ada dalam bentuk kemudahan yang lebih baik atau bantuan terus kepada golongan kurang berkemampuan.

“Inisiatif ini juga mencerminkan sokongan TNB terhadap aspirasi Malaysia Madani yang menitikberatkan nilai kemampanan, kesejahteraan dan keterangkuman sosial.

“Dengan memperkasa institusi keagamaan sebagai pusat pembangunan komuniti, ia akan membantu golongan yang memerlukan serta memupuk nilai keprihatinan dan perpaduan dalam
masyarakat,” jelasnya.

Dalam usaha berterusan, TNB turut menganjurkan Program Ihya’ Ramadan di Kompleks Balai Islam An-Nur, Bangsar dengan solat tarawih, iftar dan agihan 2,000 pek makanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI