KUALA SELANGOR – Tiga Klinik Desa (KD) yang terjejas akibat banjir di Johor telah kembali beroperasi sepenuhnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bencana itu menjejaskan empat klinik di Johor Bahru dan Kota Tinggi yang masing-masing adalah KD Kangkar Tebrau, KD Maju Jaya, KD Plentong dan KD Batu 4, Kota Tinggi.
“Semua klinik itu sudah kembali beroperasi kecuali KD Kangkar Tebrau yang perkhidmatannya terpaksa dipindahkan sementara ke Klinik Kesihatan (KK) Majidee.
“Kita sedang meneliti langkah terbaik bagi memastikan perkhidmatan itu dapat kembali seperti biasa secepat mungkin. Pesakit buat masa ini boleh mendapatkan rawatan di KK Majidee tanpa sebarang masalah,” katanya ketika ditemui pada program edaran bubur lambuk Econsave di sini, petang ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan jumlah mangsa banjir di Johor berkurangan walaupun hujan lebat semalaman di beberapa kawasan dengan seramai 6,911 mangsa direkodkan pagi tadi.
Tambah Dzulkefly, kakitangan KKM kekal menjalankan tugas seperti biasa termasuk di PPS walaupun rumah mereka sendiri dilanda banjir.
“Ini menunjukkan dedikasi mereka bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terganggu,” katanya yang sempat meninjau beberapa fasiliti kesihatan termasuk Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah. – KOSMO! ONLINE