PASIR PUTEH – Tiga buah bot laut dalam (C2) bernilai hampir RM2 juta milik nelayan tempatan yang dipercayai tersadai di sebuah jeti persendirian di Kampung Kuala Semerak di sini hangus dalam kebakaran pada awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.08 pagi itu, sepasukan enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Tok Bali bergegas lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut.
Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali, Che Azrul Azmeri Che Abdullah berkata, kebakaran berjaya dipadamkan dalam masa 35 minit bagi mengelakkan api merebak ke bot lain yang terletak berdekatan lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran itu tidak melibatkan mangsa apabila bot berkenaan kosong dan dipercayai tersadai untuk tujuan penyelenggaraan atau pembaikian.
“Sebanyak 70 peratus bahagian bot yang diperbuat daripada kayu dan gentian kaca itu musnah dalam kebakaran tersebut.
“Tindakan pantas anggota bomba memadam kebakaran dalam situasi angin bertuip kencang berjaya menghalang api merebak ke arah pusat pelupusan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan yang terletak berhampiran lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Che Azrul Azmeri memberitahu, kejadian kebakaran tiga bot itu berlaku di lokasi luar pusat sitaan bot APMM.- KOSMO! ONLINE