PETALING JAYA – Penjawat awam di seluruh negara tidak putus-putus menerima khabar gembira selama empat bulan berturut-turut hasil inisiatif kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
Pelbagai insentif dan bantuan diumumkan sejak Disember lalu memberi kelegaan kepada lebih 1.6 juta kakitangan kerajaan di seluruh negara.
Menerusi perkongsian Malaysia Mendidik di Facebook, sejak tahun lalu, penjawat awam menerima pelarasan gaji sebanyak lapan peratus bermula Disember 2024 secara berfasa dengan kadar kenaikan lebih RM200.
Pegawai kumpulan pelaksana dan pengurusan serta profesional yang memilih skim ini akan menerima 15 peratus pelarasan gaji secara berperingkat iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 dan tujuh peratus pada Fasa 2, Januari 2026.
Pada Januari lalu, penjawat awam menikmati kenaikan gaji tahunan sekali gus meningkatkan pendapatan bulanan mereka.
Menurut Malaysia Mendidik, untuk bulan seterusnya, Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2025 sebanyak RM500 disalurkan kepada golongan tersebut bermula 25 Februari lalu.
Sebelum ini, Anwar menerusi pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu mengumumkan BKK berjumlah RM500 diberikan kepada kakitangan Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak serta RM250 untuk pesara, veteran berpencen dan tidak berpencen.
Terbaharu, pada bulan ini satu lagi berita gembira dikongsikan buat seluruh penjawat awam apabila Anwar mengumumkan BKK Aidilfitri sebanyak RM500 untuk kakitangan Gred 56 ke bawah yang akan dibayar mulai minggu hadapan.
Kerajaan juga bersetuju menyalurkan BKK Aidilfitri sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.
Pengumuman berturut-turut ini disambut dengan penuh kesyukuran oleh kakitangan kerajaan.
Seorang guru dikenali sebagai Farah berkata, inisiatif yang disalurkan kerajaan sejak Disember lalu sangat membantu dalam meringankan beban perbelanjaan harian dan keluarga selain meningkatkan pendapatan bulanannya.
“Saya amat berterima kasih kepada PMX kerana memahami kesusahan rakyat. Setiap insentif yang diberikan benar-benar membantu kami menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya di ruangan komen hantaran Malaysia Mendidik.
Sementara itu, Umi Ameeena menyifatkan usaha kerajaan dalam memberi keselesaan kepada penjawat awam sebagai bentuk penghargaan yang sangat bermakna.
“Memang terbukti (Anwar dan pemimpin Kerajaan Madani) bekerja dengan baik, nak kata apa lagi? Teruskan PMX. Semoga Allah permudahkan.
“Semoga Malaysia makin makmur dan maju jaya. Semoga Allah rahmati kepimpinan negara kita,” katanya.
“Alhamdulillah. Terima kasih PMX. PM harapan Malaysia,” ujar Ab Hamad. – KOSMO! ONLINE