PETALING JAYA – Sikap prihatin seorang pemandu treler yang berkongsi juadah berbuka puasa dengan anggota bomba mengundang pujian pengguna media sosial.
Dalam video yang dimuat naik pemilik akaun Threads, budak_kampung78, menceritakan bagaimana anggota bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.20 malam hanya beberapa minit sebelum waktu berbuka pada pukul 7.26 malam.
Disebabkan kesibukan tugas, mereka tidak sempat berbuka dan tidak membawa bekalan makanan.
Namun, mereka bertuah apabila seorang pemandu treler yang kebetulan berada di lokasi sudi berkongsi rezeki.
Pengguna media sosial turut memuji tindakan pemandu treler itu yang dianggap sebagai satu bentuk ibadah.
“Walau pahala yang pak cik tu dapat kita tak nampak, kita yang tengok pun rasa fuh, rezeki pakcik dapat beribadah ketika tu,” komen seorang pengguna, @Maz_Linda.
Seorang lagi pengguna, @Zuera.Melissa, turut mendoakan kesejahteraan pemandu treler dan anggota bomba yang terlibat.
“Semoga pak cik bawa treler dan ahli bomba ni dalam lindungan Allah SWT selalu,” tulisnya.
Bagi pengguna media sosial lain dikenali sebagai @Masyinda pula berpendapat, pemandu treler itu mungkin gemar membeli pelbagai juadah untuk dikongsi dengan orang lain.
“Memang pak cik tu suka beli macam-macam juadah kot untuk dikongsi dengan orang yang dia nak bagi. Terbaik pak cik treler dan abang bomba,” katanya. – KOSMO! ONLINE