KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas didakwa mengeluarkan kata-kata cacian dan mengugut untuk membunuh pendakwah bebas di Facebook, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, polis menerima laporan polis daripada mangsa berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.18 petang kelmarin.
Beliau berkata, mangsa mendakwa telah menerima mesej di laman sosial Facebook daripada seorang lelaki warga tempatan yang mengandungi satu pesanan suara dengan kata-kata cacian dan ugutan bunuh kepadanya sehingga menimbulkan ketakutan ke atas keselamatan diri mangsa.
“Hasil daripada risikan dan siasatan, pada sekitar 1.30 petang semalam, sepasukan polis daripada jabatan siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Balai Polis Damansara telah berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki warga tempatan yang merupakan suspek dalam kes ini.
“Turut dirampas daripada saspek sebuah telefon bimbit yang disyaki digunakan untuk menghantar mesej ugutan kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, tangkapan dibawa balik ke IPD Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu melakukan ugutan jenayah dan menakutkan secara jenayah dengan menggunakan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi.
“Kes masih dalam siasatan pihak polis dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau pegawai penyiasat Insp Muhamad Shahiren Ibrahim di talian 019-5693864,” katanya. – KOSMO! ONLINE