fbpx

Tangani pengemis jadian secara menyeluruh, berhikmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli (tengah) pada sidang akhbar selepas program Wanita Darulaman Bertadabbur di Pusat Pendidikan Al Azhar, mukim Gelong di Jitra, hari ini.

JITRA – Kehadiran pengemis jadian sama ada rakyat tempatan atau warga asing di bazar Ramadan dan pekarangan masjid pada bulan mulia ini perlu ditangani secara menyeluruh melibatkan semua pihak berkaitan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, perkara tersebut juga perlu diselesaikan secara berhikmah

“Ia memerlukan satu kerjasama bersama daripada pihak-pihak yang berkepentingan agar kita dapat menanganinya secara berhikmah, menyeluruh dan tuntas.

“Kita juga meraikan semua cadangan dan pandangan daripada orang awam, mereka boleh menyalurkannya kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Wanita Darulaman Bertadabbur di Pusat Pendidikan Al Azhar, mukim Gelong, di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, katanya, setiap tindakan yang dilakukan, ia memerlukan kajian dan penelitian supaya tidak dilakukan secara berlebihan.

“Apa yang kita boleh lihat adalah kita, kerajaan Madani ingin membuat yang sebaiknya kepada semua. Inklusif itu kita nampak, itu kita bagi duit raya kepada semua,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya wujud elemen ketidakpastian kepada umat Islam untuk bersedekah, mereka boleh merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Dalam bulan Ramadan ini, roh Ramadan itu sudah pasti ialah seiring dengan amalan Rasulullah SAW apabila masuk bulan Ramadan, kita digalakkan untuk lebih pemurah dan lebih dermawan,” jelasnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan setiap kali bulan Ramadan, kehadiran pengemis jadian sama ada rakyat tempatan atau warga asing ibarat cendawan tumbuh selepas hujan apabila jumlahnya bertambah terutama menjelang hari-hari terakhir bulan puasa.

Lokasi yang menjadi tumpuan kebiasaannya adalah bazar Ramadan selain kawasan pekarangan masjid dengan hanya menadah tangan atau menghulurkan kotak bagi meraih simpati orang ramai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI