KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat berjumlah RM3,566,854 daripada lima syarikat korporat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Iskandariah di sini semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, penyerahan zakat perniagaan itu didahului Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul berjumlah RM1,499,192.
“Ia disusuli Puncak Emas Infra Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mesnor Bujang dengan zakat berjumlah RM1,034,000.
“Ia diikuti Royal College Of Medicine Perak diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Kampus, Hisshamuddin Omar dengan zakat berjumlah RM400,000,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, penyerahan zakat seterusnya adalah oleh TM Technology Services Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengurus Besar Perniagaan TM ONE Wilayah Utara, Ahmad Nazri Ambi berjumlah RM509,262.
Syamsul Hazeman berkata, penyerahan zakat terakhir adalah oleh Zaman Motors Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarahnya, Datuk Khadri Khalid dengan jumlah RM124,400.
“Majlis penyerahan zakat ini diakhiri dengan majlis iftar yang turut dihadiri oleh pegawai agama dan imam,” katanya. – KOSMO! ONLINE