PETALING JAYA – Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyamar sebagai orang awam ketika mengunjungi salah sebuah bazar Ramadan semalam.
Beliau menerusi satu rakaman video memperlihatkan dirinya memakai topi dan pelitup muka ketika membeli juadah untuk berbuka puasa bersama keluarga.
Menerusi rakaman video tersebut juga, setiap peniaga gerai yang dikunjungi Rafizi tidak dapat mengecam Menteri Ekonomi yang sedang membeli daripada mereka.
“Singgah bazar Ramadan. ‘Undercover’. Bersama ‘mummy’ dan Ben,” katanya menerusi rakaman video berdurasi kira-kira 2 minit tersebut yang dimuat naik di media sosial.
Rakaman video tersebut mendapat pujian sebilangan netizen kerana penyamaran seperti itu tidak pernah dilakukan oleh pemimpin lain.
“Hebat DS…turun ke bawah utk membuat pemerhatian sendiri dan menganalisa keadaan ..teruskan,” kata pemilik akaun Facebook Sidik Musa.
“Mantap Datuk Seri. Selamat berbuka puasa bersama keluarga dah besar anak lelaki,” kata Bidin Awang pula.
Pada akhir video, Rafizi memaklumkan beliau dan keluarga membeli jambu berharga RM5, kuih peneram RM6, chicken tenders RM15.90 dan ayam goreng RM4.50 berjumlah keseluruhan RM31.40. – KOSMO! ONLINE