KOTA BHARU – Semua premis perniagaan termasuk pasar raya, restoran makanan segera dan kedai serbaneka di Kelantan perlu menutup operasi pada 1 Syawal nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, keputusan itu selaras dengan peraturan pihak berkuasa negeri mengenai penutupan operasi pada hari raya pertama bagi membolehkan pekerja yang beragama Islam menyambut Aidilfitri.
Menurutnya, justeru, kerajaan negeri berharap semua premis perniagaan dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Pemilik premis perniagaan boleh dikompaun sekiranya melanggar peraturan yang ditetapkan.
“Peraturan itu ditetapkan bagi membolehkan semua pekerja yang beragama Ialam menyambut Aidilfitri. Ia bukan perkara baharu apabila ia sudah diamalkan oleh kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Terdahulu, beberapa pihak berkuasa tempatan di Kelantan memuat naik notis pemakluman di media sosial berhubung arahan penutupan operasi semua premis perniagaan seperti pasar raya, restoran makanan segera dan kedai serbaneka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengusaha perniagaan boleh dikenakan kompaun sehingga RM2,000 selain tindakan pendakwaan iaitu hukuman penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE