NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi Bae Sobar Bae, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin berazam untuk meneruskan karier nyanyiannya selepas dibebaskan dari Penjara Pusat Wilayah Narathiwat kelak.
Eda Ezrin yang masih menjadi ‘orang tahanan’ di penjara tersebut berkata, dia meluahkan rasa syukur selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat, di sini, membebaskannya, suami dan empat lagi rakan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda pada 6 Mac lalu.
“Pembebasan itu sudah cukup menggembirakan saya serta ahli keluarga. Tolong sampaikan salam buat semua termasuk peminat.
“Insya-Allah lepas keluar dari sini (penjara) saya akan teruskan kerjaya seni sebagai penyanyi,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Menteri Kehakiman Thailand, Leftenal Kolonel Polis Thawee Sodsong kelmarin.
Mengulas lanjut, Eda Ezrin memberitahu, dia reda terpaksa menyambut Aidilfitri di penjara.
“Sehingga kini saya belum menerima sebarang maklumat sama ada pendakwa raya telah mengemukakan rayuan di mahkamah atau sebaliknya.
“Tempoh untuk kemuka rayuan akan tamat awal bulan depan. Cuma saya amat berharap pendakwa raya tidak mengemukakan rayuan,” ujarnya.
Pada 7 Mac lalu, Kosmo! melaporkan, Eda Ezrin bersama suami serta empat yang lain dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda pada 1 November lalu.
Ia diputuskan oleh panel dua hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding perbicaraan kes tersebut bulan lalu.
Selain Eda Ezrin dan suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, empat lagi yang dibebaskan daripada tuduhan itu ialah Eridieka Mohd. Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26.
Enam individu tersebut ditahan polis Thailand bersama 6,059 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok pada 1 November lalu.
Mereka ditahan kira-kira pukul 5 pagi dalam satu serbuan ketika sedang berehat di sebuah bilik hotel selepas berhibur di pusat hiburan yang terletak bawah hotel tersebut. -KOSMO! ONLINE