PETALING JAYA – Bintang Muay Thai Thailand, Rodtang Jitmuangnon membuktikan kehebatannya apabila menewaskan jaguh Jepun, Takeru Segawa menerusi knockout (KO) seawal pusingan pertama pada pertarungan epik dalam acara utama Kejohanan ONE 172 di Saitama Super Arena, Jepun sebentar tadi.
Rodtang hanya memerlukan 80 saat untuk menamatkan pertarungan selepas mendaratkan kombinasi pukulan tepat dan bertenaga yang menyebabkan Takeru tumbang, sekali gus memaksa pengadil menghentikan pertarungan serta-merta.
Sebelum pertarungan itu, Rodtang menegaskan dia telah melakukan perubahan besar dalam sesi latihan dan pemakanan untuk memastikan dirinya berada dalam kondisi terbaik bagi menghadapi pertarungan lima pusingan tersebut.
Selepas episod mengecewakan di ONE 169 tahun lalu di mana dia gagal dalam timbangan berat badan dan terpaksa melepaskan gelaran ONE Flyweight Muay Thai World Title, Rodtang berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.
Namun, pertarungan ini tidak memerlukan lima pusingan seperti dijangka selepas Rodtang memanfaatkan kelebihannya dengan gaya pertarungan agresif selain memberikan tekanan sejak awal dan tidak memberi ruang kepada Takeru untuk beraksi dengan selesa.
Takeru cuba menggunakan kepantasannya untuk mengawal tempo pertarungan, tetapi ketepatan dan kekuatan pukulan Rodtang terlalu sukar untuk ditandingi.
Kemenangan itu bukan sahaja menebus kekecewaan lalu, malah mengukuhkan kedudukan Rodtang sebagai salah seorang petarung flyweight kickboxing terbaik dalam ONE Championship. – KOSMO! ONLINE.