fbpx

Ramanan anjur Jualan Madani Raya termurah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramanan (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Jualan Madani Raya sempena Aidilfitri di Subang Bestari dekat Sungai Buloh semalam. – SHIDDIEQIIN ZON

SUNGAI BULOH – Lebih 3,000 pengunjung tidak melepaskan peluang membeli barangan ke­perluan harian pada program Jualan Madani Raya (JMR) termurah anjuran Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pemba­ngunan Usahawan dan Koperasi berkata, program itu merupakan sebahagian daripada siri Jualan Madani Koperasi dan Usahawan.

Menurutnya, ia bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup dan memastikan barangan keperluan dapat diakses oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang pendapatan.

“Selain memberikan penjimatan kepada rakyat, program ini juga mampu memberi limpahan ekonomi sektor peruncitan koperasi setempat sesuai dengan sasaran di bawah ekonomi sosial,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut di Subang Bestari dekat ini semalam.

Pada program tersebut, Ramanan turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf dari sekitar komuniti Kota Damansara.

Ramanan berkata, melalui program Jualan Madani ini, kerajaan menyediakan insentif harga atau subsidi kepada operator jualan, terdiri daripada koperasi atau usahawan yang menjalankan kegiatan pemborongan dan peruncitan agar dapat menawarkan barangan keperluan pengguna dengan harga rendah.

Katanya, ia juga sebagai ikhtiar kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup masyarakat khususnya golongan B40.

“Untuk program JMR ini, SKM telah mendapat kerjasama sembilan operator koperasi untuk terlibat yang menawarkan harga barangan keperluan asas harian dengan potongan harga bermula 20 hingga 30 peratus,” katanya.

Di samping itu, beliau selaku Ahli Parlimen Sungai Buloh turut menambah peratus diskaun khas bagi warga Sungai Buloh supaya program tersebut menjadi program yang menawarkan harga termurah di seluruh negara.

Katanya, sepanjang tahun 2024, sebanyak RM2.404 juta insentif bagi tujuan pengurangan harga barangan keperluan asas telah dilulus dan disalurkan oleh Kuskop.

“Jumlah itu bagi pelaksanaan 95 siri Program Jualan Madani di seluruh negara, dengan prestasi jualan yang direkodkan berjumlah RM8.08 juta persamaan dengan sebanyak 1.24 juta rakyat telah menerima manfaat daripada insentif harga yang disediakan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, bagi negeri Selangor sahaja, sepanjang tahun 2024, sebanyak enam program Jualan Madani telah dilaksanakan dengan penglibatan 33 koperasi sebagai pengurus jualan.

“Program ini telah merekodkan jualan berjumlah RM362,500 dan telah memberi manfaat kepada 218,077 orang dengan penjimatan harga sebanyak RM290,000,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI