PETALING JAYA – Seorang lelaki yang bertindak nekad melakukan rompakan solo bersenjatakan pistol di sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara, semalam ditahan selepas kira-kira lima jam melakukan jenayah itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 32 tahun ditahan pada pukul 10.15 malam di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
Beliau berkata, penjenayah yang dipercayai lelaki tempatan itu telah menggunakan senjata disyaki sepucuk pistol semasa melakukan samun.
“Sebanyak tujuh dulang barang kemas di dalam rak pameran kedai telah dilarikan oleh suspek yang kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta yang menunggu di luar pasar raya berkenaan.
“Kerugian dianggarkan berjumlah RM2 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Susulan kejadian itu, bertindak atas risikan dan maklumat, sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Petaling Jaya telah berjaya memberkas suspek.
“Hasil daripada serbuan itu, polis berjaya menemui semula sejumlah barang kemas yang dilarikan.
“Suspek dan barang kes itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Farokh Faisal Ahmad di talian 017-7762991,” katanya.
Kosmo! melaporkan, seorang lelaki bersenjatakan pistol bertindak berani mati apabila menyamun sebuah kedai emas di sebuah pasar raya Kota Damansara, petang tadi.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika tiga pekerja dan seorang pelanggan sedang berada di dalam kedai emas berkenaan. – KOSMO! ONLINE