fbpx

Penyeludup lari tinggal 16.6 kg ganja di pangkalan haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dadah jenis ganja seberat 11.6 kg yang dijumpai di kawasan semak di pangkalan haram Bagus, Rantau Panjang pada Khamis lalu. FOTO IHSAN PGA

RANTAU PANJANG – Cubaan penyeludup untuk membawa masuk sebanyak 16.6 kilogram (kg) dadah jenis ganja ke negara ini gagal apabila mereka lari meninggalkan dadah tersebut di dua kawasan pangkalan haram di sini kelmarin dan Khamis lalu.

Kesemua dadah yang dianggarkan bernilai RM59,460 itu dijumpai ditinggalkan di kedua-dua pangkalan haram tersebut semasa anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan tugasan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, rampasan pertama dijalankan di pangkalan haram Bagus di sini kira-kira pukul 4 petang pada Khamis lalu apabila anggota PGA mengesan seorang lelaki sedang memikul barang di kawasan itu.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA.

“Pemeriksaan di kawasan semak di pangkalan haram itu menjumpai satu bungkusan berisi dadah seberat 11.6 kg yang dianggarkan bernilai RM35,960.

“Siasatan awal mendapati, kesemua dadah itu dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, rampasan dadah kedua dijalankan di kawasan pangkalan haram Keri di sini kira-kira pukul 8.15 pagi kelmarin.

Menurutnya, anggota PGA mengesan tiga orang lelaki bersama sebuah motosikal nombor pendaftaran Thailand berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.

“Ketiga-tiga lelaki itu terus melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota PGA. Pemeriksaan di bawah tempat duduk motosikal yang ditinggalkan di kawasan tersebut menjumpai tiga bungkusan berisi 5 kg dadah jenis ganja.

“Dadah yang dianggarkan bernilai RM23,500 itu disyaki untuk dijual ke pasaran tempatan,” ujarnya.

Nik Ros Azhan berkata, kesemua dadah seberat 16.6 kg yang dirampas dalam kedua-dua serbuan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI