JELI – Seorang remaja putus jari tangan kiri manakala dua rakannya melecur pada bahagian badan akibat terkena letupan mercun buatan sendiri dalam kejadian di asrama sebuah sekolah agama, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu, ketiga-tiga pelajar berusia 15 dan 16 tahun dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 5.48 petang selepas dimaklumkan oleh pegawai perubatan hospital berkenaan.
“Ketiga-tiga pelajar sekolah itu memasukkan belerang ke dalam sebuah botol bersama batu kerikil untuk dijadikan bahan letupan. Mercun itu bagaimanapun meletup menyebabkan mereka cedera,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE