PETALING JAYA – Usaha pembinaan mana-mana kuil selepas ini perlu mematuhi Garis Panduan Kuil Hindu Kebangsaan yang dikeluarkan oleh Malaysia Hindu Sangam.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menegaskan, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan agar garis panduan tersebut dipatuhi.
“Dalam dokumen itu jelas menegaskan kuil mesti dibina atas tanah milik sendiri kuil atau Jawatankuasa Pengurusan Kuil (JPK)
“Elakkan tanah yang disewa, dipajak, tanah rizab dan tanah dihuni tanpa kebenaran pemilik. Saya yakin, itu juga hasrat umum penganut Hindu dan Hindu Sangam,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.
Kenyata itu dipercayai berkait dengan isu keberadaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman atas tanah milik Jakel di ibu negara.
Pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad mewakafkan tanah di Jalan Masjid India itu untuk pembinaan sebuah masjid bagi menampung keperluan komuniti di kawasan tersebut.
Penyokong pemeliharaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman namun mencadangkan ‘tapak alternatif’ untuk pembinaan masjid berbanding memindahkan kuil didakwa berusia 130 tahun itu.
Terdahulu, penceramah bebas, Wong Wai Hung juga mengingatkan semua pihak tentang Garis Panduan Kuil Hindu Kebangsaan 2017 yang dikeluarkan oleh Malaysia Hindu Sangam.
Beliau menerusi satu kenyataan menegaskan, berdasarkan garis panduan itu, kuil mesti dibina di atas tanah milik sendiri atau diurus oleh JPK.
“Garis panduan itu sendiri menyatakan kuil tidak boleh dibina di atas tanah sewa, pajakan, tanah rizab atau tanah yang dihuni tanpa kebenaran pemilik,” katanya. – KOSMO! ONLINE